Siapa
yang dapat menyelami seberapa dalamnya hati seseorang? Bila kita melihat
seseorang tersenyum apakah dia benar-benar bahagia?
Bila
seseorang menangis adakah itu bererti dia sedang bersedih? adakah kenyataannya
seperti yang kita lihat?
Hati, tidak ada seorangpun yang mampu meneka dengan pasti sedalam
mananya hati kita sendiri, kadangkala kita tidak dapat memahami apa yang ada di
dalam hati.
Apa
yang dilihat di luar belum tentu itu mencerminkan apa yang ada di dalam hati.
Bukan bererti perlu hipokrit tetapi kadang – kadang orang lain tidak perlu tahu
apa yang sebenarnya kita rasakan saat itu.
Apabila
kita bahagia tidak perlu kita memperlihatkan kebahagian itu secara berlebihan
kepada orang lain. Ketika kita bersedih tidak perlu juga mereka mengetahui
seberapa sakit yang menimpa kita hingga membuat kita bersedih.
Begitu juga ketika hati kita merasa jengkel, jangan sampai orang
lain kena getahnya.
Cukuplah kita sendiri yang mengetahuinya dan Allahlah tempat kita
menumpahkan segala rasa yang ada di hati, hanya Allah tempat kita mengadu,
tempat kita berserah diri.
“Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik
Pelindung.”
Waktu
ini, disuatu tempat ada hati yang begitu bahagia, seolah – olah ia ingin
tersenyum setiap saat.
Ya,
di sana ada hati yang berbunga-bunga kerana akan memiliki apa yang sangat dia
harapkan selama ini, dia sedang menunggu hari besar dalam hidupnya.
Saya
dapat membayangkan bagaimana hati yang dipenuhi dengan kebahagiaan, kesenangan
dan suka cita.
Tetapi sebaliknya, disini ada hati yang terluka kerananya, sedih
kerana kebahagiaan yang dirasakan olehnya.
Tahukah dia bahawa ada hati yang sakit disaat dia sedang merasakan
kebahagiaan yang sempurna?
Tahukah dia bahawa ada seseorang ingin menangis ketika dia
tersenyum dan ketawa?
Dalamnya hati siapa yang tahu?
Senyum
kita masih ada, tawa kita kadang masih terlihat dan gurauan itu juga masih kita
berikan kepada setiap orang di dekat kita, tidak ada yang tahu bahawa disebalik
apa yang mereka lihat dari mimik wajah & tingkah laku kita sebenarnya kita
sedang terluka.
Kita ingin menangis saat itu, tetapi tidak ada yang tahu tentang
itu.
Hanya Allah dan kita sahaja yang mengetahui dalam hati,
hanya Allah tempat kita mengembalikan semua rasa di dalam hati, hanya Allah
pengubat sakit dan lara hati ini.
Hanya dengan mengingat Allahlah kita berusaha menenangkan
hati ini ketika kebahagiaan seseorang merenggut kebahagian kita, ketika
tidak ada seorangpun yang memahami perasaan dalam hati kita.
Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahuakbar
walahaulawalaquwataillabillah rangkaian kalimat ini yang membasahi bibir kita,menggetarkan hati
yang sedang kita pupuk kembali, menemani butiran air yang menitis dari kelopak
mata.
Sabda Rasulullah “Perbanyakkanlah membaca La Haula Wala Quwwata
Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi 99 penyakit, yang
mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan” (Riwayat Al-Uqaili melalui
jabir r.a.)
Hasbunallahu
wa ni’mal wakiil ni’mal maula mani’man nashir
Ya Rabb…
Semua datangnya dari Engkau dan semua akan kembali kepada Engkau,
maka aku serahkan semua rasa ini kepadaMu Ya Rabb…
Kuatkanlah aku menghadapi setiap ujian yang Engkau berikan,
Ikhlaskanlah hati aku untuk menerima setiap takdir yang Engkau tuliskan kepada
aku.
Hanya Engkau Ya Rabb yang mengetahui dengan benar dalamnya hati
aku maka aku memohon tuntunlah diri ini untuk tetap berada dalam kebenaranMu
Amin Allahumma Amin
No comments:
Post a Comment